top of page

BDB ceburi perkhidmatan penjagaan warga emas

2848148.webp

AMIRUL AIMAN OSMAN (utusan)

8 Aug 2024

KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Berhad (BDB) bersama rakan kolaborasinya, Kumpulan Seterra mengambil langkah memasuki bidang ekonomi perak melalui usaha baharu yang tertumpu kepada penjagaan perkhidmatan penjagaan warga emas.


Usahasama itu bertujuan membantu menangani keperluan bagi penjagaan warga emas yang semakin meningkat di Malaysia. Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, pihak sedar keperluan mendesak untuk perkhidmatan kesihatan yang dipertingkatkan, fasiliti bantuan penjagaan, dan infrastruktur mesra warga emas.


Katanya, walaupun cabaran itu besar namun ia tetap menawarkan peluang signifikan untuk inovasi dan peningkatan dalam perkhidmatan penjagaan kelompok tersebut. “BDB merancang untuk memainkan peranan aktif dalam meneroka inovasi dan menyumbang kepada pertumbuhan dalam sektor ini. “Ekonomi penjagaan di Malaysia menghadapi cabaran disebabkan oleh infrastruktur dan sumber yang terhad. “Malah, isu seperti akses terhad kepada penjagaan kesihatan berkualiti, ketidakstabilan kewangan, dan pengasingan sosial perlu ditangani secara menyeluruh bagi meningkatkan perkhidmatan penjagaan warga emas,” katanya di Diolog Seterra (SEDIA) 2024.

 

Tambah Raja Shahreen, syarikat komited untuk merevolusikan ekonomi penjagaan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, pemberdayaan modal insan dan inovasi teknologi. “Kami bekerjasama dengan pihak berkepentingan, termasuk badan kerajaan, syarikat sektor swasta, NGO, dan pelabur antarabangsa untuk memacu transformasi ini.

“Oleh itu, BDB dan Kumpulan Seterra telah merancang untuk menubuhkan sebuah penempatan penjagaan jangka panjang berstruktur yang dikenali sebagai Aman Seterra Sanctuary di Langkawi.


“Projek ini mencerminkan visi BDB untuk mewujudkan penempatan persaraan dan kehidupan warga emas bertaraf dunia yang bakal meletakkan satu piawaian baharu untuk penjagaan warga emas,” ujarnya.


Menurutnya, pembangunan Aman Seterra Sanctuary juga bertujuan menyediakan persekitaran yang holistik dan inklusif untuk warga emas dengan penawaran jenis perkhidmatan merangkumi kehidupan berdikari hingga bantuan penjagaan serta penjagaan khusus. “Pelaburan strategik itu adalah penting untuk mengubah ekonomi penjagaan Malaysia yang akan berfungsi sebagai model untuk inisiatif masa hadapan,” ujarnya.-UTUSAN

bottom of page